Kerajaan disaran supaya memperkenalkan dasar yang mewajibkan murid-murid sekolah kebangsaan mempelajari bahasa Mandarin. Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, dasar tersebut boleh dijadikan alternatif kepada cadangan sekolah satu aliran yang ditolak mentah-mentah oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Langkah itu mampu mengelakkan generasi muda Melayu daripada diperkotak-katikkan oleh kaum Cina. Kita juga perlu akur dengan keperluan menguasai Bahasa Mandarin memandangkan China kini dikenali sebagai salah satu kuasa ekonomi dunia,” katanya Kuala Lumpur, hari ini.

Sheikh Ahmad Dusuki turut menyuarakan kebimbangannya tentang dasar sekolah pelbagai aliran yang dikhuatiri akan menghancurkan negara dalam tempoh 15 tahun akan datang.