Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching menolak usul Chong Chieng Jen (Kota Sentosa-DAP) bagi membincangkan tragedi bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga memandangkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan selain ada lagi mangsa yang dikhuatiri terkorban.

Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, yang memutuskan usul itu tidak teratur serta tidak boleh diterima, berkata ia boleh memudaratkan kerana berdasarkan laporan akhbar dan agensi berkaitan perlu dibenar menjalankan siasatan berhubung tragedi berkenaan.

“Notis 24 jam diperlukan bagi membentang usul sedemikian yang dalam kes ini tidak teratur dan tidak boleh diterima kerana melebihi 250 perkataan, iaitu mengandungi 397 perkataan,” katanya pada sidang DUN di sini hari ini.

Beliau berkata usul itu, yang dibentang Chong berikutan tragedi yang berlaku semalam di Jeram Tukok/Jeram Bungan dalam Sungai Rajang, sepatutnya dibuat mengikut Perintah Tetap 15 dan bukan Perintah Tetap 23(2)(d).

Antara resolusi yang dicadang Chong ialah Pengerusi Lembaga Sungai Sarawak perlu bertanggungjawab bagi lebihan muatan, yang dilakukan berulangkali manakala kerajaan perlu segera melaksanakan pembinaan jalan sepanjang 100 kilometer dari Kanowit ke Song, Kapit dan Belaga dengan komitmen menyiapkannya dalam tempoh tiga tahun.

“Meskipun tragedi ini memilukan semua orang, ini merupakan masa tindakan segera diambil oleh kerajaan bagi memastikan tragedi sama tidak lagi berulang,” katanya sambil menambah selepas 50 tahun, masih tiada akses untuk jalan yang sempurna ke daerah luar bandar di Sarawak.

Sementara itu, dalam semangat perpaduan dan kasih sayang, TImbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu berkata penyokong Barisan Nasional (BN) menyumbang RM24,000 untuk tabung kebajikan mangsa tragedi berkenaan dan keluarga merek manakala setiausaha politik Ketua Menteri berkongsi menderma sejumlah RM5,000, pembantu menteri negeri (RM1,500) dan Adun Pakatan Rakyat (RM2,500).

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata 33 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Rh Tebuk Long Buyui.

Bantuan makanan dari pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta peralatan dapur turut diagih petugas JKMS dari Kapit semalam sementara petugas dari Bintulu membawa selimut, baju dan tilam untuk kegunaan mangsa serta anggota keluarga mereka di Pusat pemindahan sementara itu.