Produk hasil penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM) ”Porcine DNA Detection Kit” mampu mengesan DNA khinzir dalam daging mentah dan produk daging diproses seperti sosej dan burger. Penyelidik dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM, Prof. Tang Thean Hock berkata, produk itu yang kini dalam proses permohonan paten amat sesuai digunakan untuk ujian pensijilan perindustrian halal di Malaysia.

“Harga kit dianggarkan RM500 yang boleh digunakan bagi menguji 50 sampel. Setakat ini terdapat lima syarikat telah menyatakan minat untuk memasarkan kit ini tetapi masih di peringkat perbincangan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Produk itu yang dihasilkan oleh Tang bersama dua lagi penyelidik iaitu Siti Aminah dan Lee Li Pin menang pingat emas pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 yang diadakan di Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 Mei lepas.

Tang berkata, kit itu mampu menggandakan DNA babi dalam satu-satu produk, sekaligus dapat menghasilkan keputusan tepat pada kos lebih murah berbanding penggunaan mesin mass spectrometer.