Ubat seks yang dilabelkan sebagai “Viagra versi wanita” dan diharap dapat meningkatkan nafsu seks dalam wanita, mungkin boleh didapati tidak lama lagi. Pil baru ini, yang dinamakan Lybrido, menggunakan gabungan testosteron dan ubat Viagra dalam usaha untuk meningkatkan keinginan dan kepuasan seks. Ubat ini diharap akan dapat dijual dalam tempoh masa tiga tahun, Daily Telegraph melaporkan.

Para saintis setakat ini telah bergelut untuk mencipta ubat Viagra versi wanita kerana walaupun Viagra mempunyai tindakan fisiologi pada lelaki, peningkatan rangsangan wanita bergantung bukan sahaja kepada rangsangan psikologi tetapi juga faktor-faktor fizikal.

Firma Belanda Emotional Brain mendakwa telah menghasilkan pil yang boleh menyelesaikan dilema ini, dengan menggabungkan ubat yang bertindak seperti Viagra dengan testosteron. Kesan fizikal Viagra ini telah membesarkan kesan testosteron pada pusat-pusat rangsangan di dalam otak dan pil ini perlu diambil tiga jam setengah sebelum melakukan hubungan seks, agar ia mempunyai kesan.

Keputusan ujian percubaan yang melibatkan lebih daripada 200 orang wanita belum diterbitkan, walaupun pengasas Emotional Brain, Adriaan Tuiten, menggambarkan hasil ujian tersebut sebagai “sangat, sangat menjanjikan”. Suatu ujian percubaan yang lebih besar telahg dirancang dan diharapkan bahawa ubat perangsang ini akan berada di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat pada akhir tahun 2016.

Dr. Tuiten mendakwa bahawa pil ini membolehkan wanita untuk berjimak dengan lebih kerap dan peluang mereka untuk mencapai orgasma adalah lebih tinggi. Beliau percaya bahawa ubat ini akan lebih popular dengan wanita yang telah lama berkahwin kerana kumpulan ini lebih cenderung untuk mengalami penurunan drastik dalam keinginan seksual dalam peredaran masa.

Dr Andrew Goldstein, seorang pakar AS dalam kesihatan seksual wanita, memberitahu New York Times bahawa syarikat-syarikat pembuat ubatan seperti Emotional Brain akan berada di bawah tekanan untuk membuktikan bahawa tindakan mereka tidak akan menjadi penyebab kepada wanita nimfomania. Terdapat juga kebimbangan bahawa Lybrido boleh meletakkan wanita di bawah tekanan untuk menunjukkan hasilnya, manakala mereka yang masih meragui kemampuan ubat perangsang ini memberi alasan faktor budaya yang mempunyai perkaitan dengan rangsangan syahwat.

Dr Tuiten mengatakan bahawa sehingga 43 peratus daripada wanita mengalami nafsu seks yang rendah pada satu ketika dalam hidup mereka dan bahawa jauh daripada menjadi seorang wanita nimfomania, ubat ini hanya akan meningkatkan libido yang rendah kepada paras normal.

Dr Mike Wyllie, salah seorang saintis dalam pasukan yang menemui dan menghasilkan ubat lelaki mati pucuk Viagra, menyifatkan Lybrido sebagai “satu konsep yang menarik”.