Perdana Leadership Foundation 2013

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu ucapan di forum CEO Perdana Leadership Foundation 2013 hari ini telah secara sinis menyebut tentang mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Mengulas tentang pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), beliau berhasrat mewujudkan sistem itu semula andainya beliau menjadi perdana menteri.

“Sebab itu lah saya mahu jadi perdana menteri sekali lagi meskipun hanya seminit,” kata bekas perdana menteri itu dengan nada seloroh.

Sementara itu Tun Mahathir juga mula mempertimbangkan semula keputusannya untuk tidak melaksanakan tapisan terhadap internet sewaktu beliau menerajui Koridor Raya Multimedia (MSC) suatu ketika dahulu.

Jelas beliau, kebebasan internet menyebabkan masyarakat cenderung mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi sekaligus menyebabkan ketidakstabilan negara.

“Semasa saya mengetuai MSC, saya ditanya oleh seorang wanita Amerika samada kami akan adakan tapisan internet atau tidak.

“Saya beritahu kepadanya tidak…kita akan lebih bebas, tetapi sekarang saya sudah ada pandangan lain. Bila kita ada kebebasan mutlak, kita akan salah guna kebebasan tersebut,” kata Tun Mahathir.

Beliau mengulas tentang tindakan dua individu yang telah menghina Nabi Muhammad dalam laman media sosial.