Pengusaha syarikat bas ekspres yang sebelum ini tidak berhasrat menjual tiket bagi perjalanan Aidilfitri lebih awal, akan mula berbuat demikian pada 1 Julai. Malah terdapat pengusaha yang mula menguruskan penjualan tiket elektronik mulai hari ini bagi destinasi Utara, Selatan dan Timur negara mengikut keperluan penumpang dengan tambang yang dikenakan caj tambahan atau surcaj sebanyak 10 peratus.

Ia seperti diputuskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) minggu lalu, membenarkan pengendali menaikkan harga tiket sebanyak 10 peratus yang dianggap surcaj, berbanding tuntutan mereka yang mahu kenaikan sehingga 30 peratus menjelang Ogos.

Mengesahkan perkara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA) Tajuddin Mohd Yunus berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya bersama Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) dan Konsortium Transnasional Berhad (KTB) bersemuka dengan SPAD.

“Kami berbincang mengenai masalah ini Rabu lalu dan akhirnya persetujuan dicapai untuk tiket dijual lebih awal mengikut keperluan penumpang selain tiada cubaan untuk hadkan penjualan dan sebagainya.

“Selain itu, semua pihak bersetuju kadar surcaj dikenakan sebanyak 10 peratus bagi setiap tiket dan ada kalangan kami yang sudah pun mula jual dan tak kurang juga mengurus urusan kemasukan tiket elektronik esok (hari ini).

“Semuanya dilakukan untuk kemudahan pengguna selain kita nak mengelak jualan ketika Ramadan kerana selalunya orang penat nak cari tiket. Tapi kami tetap mahukan SPAD melihat isu tambang secara serius kerana mengganggu operasi syarikat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.