Tabung Haji salah guna duit pelabur

Dikhabarkan di media sosial bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyalahguna wang pelabur dan para penyimpan Tabung Haji dengan memberi sumbangan kepada Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) yang dipengerusikan oleh Datuk Azeez Abdul Rahim, yang juga merupakan pengerusi Tabung Haji. Sumbangan yang agak besar dikatakan telah diberikan kepada KP1M dan telah menyebabkan ramai penyimpan dan pelabur menzahirkan rasa tidak puas hati, kerana membuat sumbangan yang besar kepada KP1M bukanlah satu pelaburan yang dapat membantu meningkatkan pendapatan penyimpan tetapi tajaan yang merupakan wang hangus.

Melihat kepada fungsi TH yang sebenar, TH tidak ada hak untuk menggunakan wang penyimpan bagi melakukan apa-apa tajaan, kerana mereka diamanahkan untuk menjaga tabungan bakal-bakal haji untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima. Jelas bahawa ini merupakan suatu conflict of interest yang telah digunakan oleh pengerusi TH dan KP1M yang merupakan orang yang sama. Dasar penyimpan yang besar tidak wajar dijadikan alasan untuk TH tidak mendapatkan persetujuan para penyimpan. Juga, jumlah teramai pendeposit yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas dan orang-orang kampung dan FELDA bukan lesen bagi TH untuk membuli.

Dikhuatiri jika berita ini benar dan dibiarkan, TH akan jadi penyumbang tetap KP1M selama pengerusinya adalah orang yang sama. Jika ada keuntungan pada pelaburan TH sekalipun, ia wajar digunakan bagi mengurangkan kos mengerjakan haji serta ditingkatkan kualiti perkhidmatan kepada jemaah-jemaah haji dalam keadaan kos kehidupan yang semakin meningkat sekarang dan jumlah jemaah haji yang semakin tinggi di sana. Semoga berita ini tak benar dan dpt disekat sebelum ia menjadi benar. Bila diberi amanah, jagalah sebaik mungkin, apatah lagi amanah itu melibatkan aktiviti ibadah dan amanah itu sendiri adalah ibadah.