MasterChef Cheque

Tahniah diucapkan kepada penyanyi etnik kreatif Syura, kerana berjaya merangkul gelaran juara menewaskan Celina pada peringkat akhir Masterchef Selebriti musim kedua yang dianjurkan oleh Astro Ria. Siapa yang boleh menyangka bahawa Syura yang pernah masak Maggi sampai hangus boleh menang Masterchef Selebriti kali ini? Tiada apa yang mustahil!

Syura memenangi wang tunai RM 60,500 yang disumbangkan kepada Badan Kebajikan Kanser Payudara Persekutuan dan dua tiket penerbangan kelas perniagaan ke Paris. Dalam episod terakhir MCSM itu, Syura ada menyebut tentang berbulan madu sekali lagi.

“Bulan madu yang saya maksudkan adalah untuk menghabiskan masa berkualiti dengan suami, itu saja.
“Sebelum ini, kami ada berbulan madu juga tapi tidaklah sampai ke Paris. Kami ke Disneyland Hong Kong,” katanya kepada media ketika dihubungi.

Menurut Pengurus Siaran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli pihaknya kini sedang berbincang untuk siri MasterChef yang akan datang.

“Siri MasterChef berikutnya dalam perancangan tapi masih dalam perbincangan. Apa yang saya boleh kata, formatnya berlainan dari MCSM ataupun MasterChef Malaysia,” katanya.