Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup selama enam bulan bermula Oktober depan bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilakukan terhadap permukaan padang. Perkara ini diputuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Saya minta mereka (Perbadanan Stadium Malaysia) mulakan kerja baik pulih pada bulan Oktober dan kita akan tutup stadium ini selama enam bulan. Tendernya akan dibuat secepat mungkin dan kita akan lihat berapa lama jangka masa diperlukan kontraktor untuk kerja-kerja berkenaan,” jelas Khairy Jamaluddin selepas mengadakan lawatan ke stadium itu semalam.

Khairy juga menghadiri sesi taklimat bersama Perbadanan Stadium Malaysia dan menerima cadangan agar segala aktiviti bukan berkaitan sukan tidak lagi diadakan di stadium berkenaan.

Sementara itu Pengerusinya, Datuk Jamil Salleh, memberitahu pihaknya masih belum dapat menentukan kos yang bakal diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih itu.

“Kita akan membuat kerja-kerja naik taraf padang ini secara keseluruhan. Bukan sahaja rumput, tetapi kerja-kerja asas dan juga pembaikan kawasan persekitarannya,” katanya.

Begitu pun, stadium berkenaan bakal digunakan untuk gelanggang perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim, 29 Jun ini.