Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memulakan kajian semula undang-undang pilihanraya dan prosedur pendaftaran pengundi bagi menangani aduan seperti bilangan luar biasa besar pengundi didaftarkan di alamat yang sama tidak lama lagi.

Antara perkara-perkara yang sedang dipertimbangkan oleh suruhanjaya itu termasuklah mendapatkan kuasa untuk “mengeluarkan” pengundi-pengundi yang tidak tinggal di alamat tersebut dan mengemaskini pendaftaran mengikut alamat yang disenaraikan di dalam MyKad mereka.

“Kami akan mengkaji secara terperinci semua aspek undang-undang berkaitan kawalan pendaftaran pengundi untuk melihat semua kelemahan yang boleh memberi ruang untuk penipuan oleh mana-mana parti politik apabila mereka mendaftar sebagai pengundi,” kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, pada hari Ahad.