Sudin

Pelakon dan pelawak veteren terkenal, Seniman S. Shamsudin telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi di rumahnya di Bukit Batok Avenue, Jurong di Singapura, selepas mengadu sesak nafas.

“Kira-kira jam 11 pagi arwah telah menghembuskan nafas terakhirnya. Kini jenazah arwah masih berada di Hospital Universiti Singapura. Arwah akan dikebumikan esok pada jam 11 pagi di Pusara Abadi, Singapura,” jelas Husin Saaban seorang rakan artis arwah di Singapura.

Shamsudin atau Sahamsudin bin Dali dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 1hb Januari 1929. Bapa beliau, Dali bin Kechik berasal dari Melaka, manakala ibu beliau, Khatijah binti Haji Ahmad berasal dari Geylang, Singapura.

S. Shamsuddin kemudiaannya berkahwin dengan Puteh binti Esmoon pada tahun 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak hasil dari perkahwinan mereka. S. Shamsudin atau Sudin melakukan pelbagai pekerjaan kasar untuk membantu keluarga beliau sebelum menceburi dunia perfileman.

Antara lakonannya yang berjaya mencuit hati ialah Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok serta lakonan lain beliau adalah Antara Dua Darjat dan Panggilan Pulau.