Sekolah Cempaka Malaysia (CSM), yang muncul sebagai johan keseluruhan bagi tahun kelima berturut-turut pada Sukan Pendidikan Dunia (WEG) menerima trofi Piala Dunia daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini. Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran I, dalam ucapan di majlis penyampaian di pejabatnya di sini, memuji CSM atas pencapaian itu dan berkata kejayaan berulang oleh CSM membuktikan pelajar Malaysia boleh menjadi johan dunia.

“Dengan memenangi sembilan trofi dunia dalam tempoh lima tahun, Cempaka telah mencipta reputasi akademik yang kukuh, pada tandaras antarabangsa. Ia sebuah sekolah kelas antarabangsa, menewaskan pesaing 5.1 juta kanak-kanak dari 30,000 sekolah, dari lebih 226 negara di serata dunia,” kata beliau.

Beliau berharap kejayaan CSM akan memberi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain di tanah air.

Muhyiddin juga menghadiahkan dua lagi trofi, iaitu World Literacy dan World Science. Kesemua tiga trofi diterima oleh pengasas CSM, Datuk Freida Mohd Pilus.

Turut hadir ialah dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan, serta Pengurus Serantau 3P Learning Australia, Paul Mc Mahon, penganjur pertandingan itu.

Pertandingan terbesar dunia secara on-line itu yang disokong UNICEF berlangsung dari 7 hingga 7 Mac dalam tiga kategori – literasi, matematik dan sains. Ia menyaksikan 23 pelajar dari CSM mencapai kedudukan 10 teratas, termasuk Daniel Muhammad Syafiq yang memenangi juara ‘Champion of Champions’ meliputi ketiga-tiga kategori. Daniel memenangi tempat teratas bagi kategori sains, kedua dalam literasi dan kesembilan dalam matematik.