Suatu rombakan akan dilakukan dalam pentadbiran Selangor dalam masa terdekat ini dan akan menyaksikan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dibawa masuk ke dalam pentadbiran negeri dan dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab menjaga hubungan politik parti komponen Pakatan Rakyat (PR), lapor Sinar Harian hari ini.

Akhbar itu turut menyatakan ini adalah antara punca kelewatan senarai Exco kerajaan negeri Selangor dimuktamadkan, sehingga menimbulkan keresahan rakyat selepas Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-13. Sumber itu juga memberitahu akhbar berbahasa Melayu itu, persetujuan antara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, telah dicapai dalam satu perbincangan pada minggu lalu.

“Mungkin Rabu akan bincang rombakan kecil itu, Saifuddin akan jaga hal hubungan politik di Selangor serta untuk memantapkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” kata sumber kepada Sinar Harian.
“Beliau ditugaskan untuk gerakkan mobilisasi jentera ke kawasan luar bandar bagi mengatasi Barisan Nasional (BN) yang bersungguh-sungguh nak rampas Selangor semula pada PRU14 nanti,” tambah sumber itu lagi.

Saifuddin dikatakan akan berperanan memberi wajah baru kepada Selangor supaya imej negeri ini lebih dikenali sebagai sebuah negeri PR dan bukan lagi kubu kuat BN.
“Bukan saja ‘rebranding’ itu kepada kakitangan awam negeri bahkan kalau boleh bangunan kerajaan dan infrastuktur di Selangor pun dicat dengan warna lain, bukan lagi warna biru,” katanya.

Dalam pada itu katanya, rombakan ini juga bertujuan untuk membuat penambahbaikan terhadap pembangunan infrastuktur dan pelbagai program kebajikan yang masih tertangguh pada penggal lalu dengan membelanjakan rizab negeri yang tersimpan sebanyak RM2.65 bilion.

“Penggal kali ini Abdul Khalid pun sudah berjanji akan belanjakan wang rizab Selangor untuk gerakkan banyak lagi program kebajikan rakyat,” katanya.

Dalam Pilihan Raya ke-13 2013, Saifuddin tewas di kerusi Parlimen Kulim Bandar Baru, Kedah di tangan Datuk Aziz Sheikh Fadzir, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO. Sebelum itu, Saifuddin merupakan anggota Parlimen Machang, Kelantan dalam penggal lalu.