Polis rusuhan cuba mengawal beratus-ratus penunjuk perasaan di Paris pada fasa akhir perarakan yang pada keseluruhannya aman oleh ribuan orang yang berhinpun untuk menentang undang-undang baru yang membenarkan perkahwinan homoseks di Perancis. Polis menahan 96 orang selepas pergelutan pada perhimpunan di pusat bandar Paris pada hari Ahad, setelah sebahagian besar penunjuk perasaan pulang ke rumah masing-masing. Pertempuran meletus selepas beberapa orang samseng mula menggunakan batang kayu dan polis rusuhan menembak kawasan Esplanade Invalides dengan gas pemedih mata.

Belia menjerit slogan-slogan menentang kerajaan haluan kiri seperti “diktator sosialis” dan melemparkan objek pada wartawan yang membuat liputan perarakan tersebut. Kawasan taman yang besar di sekeliling kawasan tugu Les Invalides dibanjiri penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera merah jambu dan biru, manakala aktivis-aktivis berhaluan kanan menggantung bunting di ibu pejabat Parti Sosialis yang menjadi pemerintah, menggesa Hollande untuk meletak jawatan.

Undang-undang baru ini telah berkuatkuasa lebih daripada seminggu yang lalu, tetapi penganjur meneruskan protes untuk menunjukkan bangkangan berterusan dan menyuarakan kekecewaan mereka dengan Presiden Francois Hollande, yang telah menjadikan perkahwinan homoseks ini salah satu janji utama dalam pilihan raya tahun lepas.

Bantahan bermula sebagai sebuah kempen akar umbi yang disokong oleh Gereja Roman Katolik, tetapi ia berubah menjadi gerakan yang lebih luas dengan ahli-ahli politik pembangkang dan penyokong haluan kanan menunjukkan rasa tidak puas hati mereka pada kerajaan sosialis. Walaupun mereka telah gagal untuk menghalang perkahwinan homoseks, penunjuk perasaan berharap himpunan besar-besaran ini akan membantu menghentikan atau melambatkan lagi beberapa undang-undang yang didokong pihak Sosialis untuk membenarkan kelahiran bantuan dan ibu tumpang untuk pasangan homoseks. Jean-Francois Cope, pemimpin parti pembangkang UMP, turut berarak dalam demonstrasi itu dan menggesa penunjuk perasaan muda untuk menyertai parti itu untuk mengekalkan tekanan ke atas kerajaan haluan kiri.

Polis berkata, 150,000 orang telah berarak pada hari Ahad, tetapi penganjur protes berkata satu juta orang telah mengambil bahagian. Menteri Dalam Negeri, Manuel Valls. menggerakkan 4,500 anggota polis untuk mengawal himpunan tersebut dan menggesa penunjuk perasaan supaya tidak membawa kanak-kanak bersama mereka kerana khuatir akan kejadian keganasan selepas militan haluan kanan bertempur dengan pihak polis pada perhimpunan-perhimpunan sebelum ini. Walau bagaimanapun, ramai ibu bapa mengabaikan amaran tersebut dan kelihatan beberapa keluarga yang berpiknik dengan anak-anak mereka di padang pada perhimpunan tersebut.

Satu kajian yang disiarkan pada hari Ahad menunjukkan 53 peratus daripada mereka yang ditinjau menyokong perkahwinan homoseks, penurunan sebanyak 10 mata sejak protes bermula November lalu. Ia berkata 72 peratus berpendapat bahawa bantahan perlu berhenti sekarang.

(Sumber Berita)