Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun bertindak berani memperjuangkan nasibnya dan anak yang dikandung apabila menjejaki lelaki yang merogolnya di sebuah kelab malam, sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, remaja berusia 18 tahun itu dirogol teman lelakinya yang berusia 21 tahun Mac lalu di rumah lelaki berkenaan dan selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, lelaki berkenaan menyatakan kesanggupannya untuk bertanggungjawab. Bagaimanapun, selepas mangsa memaklumkan dia sudah mengandung lelaki terbabit lepas tangan dan menyembunyikan diri, menyebabkan mangsa berusaha mencarinya dengan menghubungi rakan lelaki itu hingga berjaya menjejakinya.

Sumber polis berkata, anggota polis dari Cawangan Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mendapat maklumat mengenai pergaduhan di sebuah kelab malam di Jalan Doraisamy kelmarin jam 2.30 pagi.

“Sebaik anggota polis sampai di tempat kejadian, mereka nampak seorang wanita dan lelaki bergaduh di hadapan orang awam, malah lelaki berkenaan turut dipukul orang awam.

“Anggota polis bertindak meleraikan pergaduhan berkenaan dan mangsa akhirnya tampil dan memaklumkan lelaki berkenaan merogolnya Mac lalu,” katanya.

Menurutnya, anggota polis bertindak menahan lelaki.