Pendatang asing dari India, Peer Mohamad Kadir hari ini berkata beliau menerima kad pengenalan hanya dalam tempoh dua tahun selepas tiba di negara ini semasa berusia 24 tahun, pada tahun 1984. Peer, 53, memberitahu Inkuiri Diraja Suruhanjaya Siasatan Pendatang Tanpa Izin (RCI) Sabah selepas dua kali gagal memohon kad pengenalan, beliau memperolehi kad pengenalan pada 1986, dengan bantuan pak ciknya selepas membuat permohonan sama di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Marudu.

Beliau yang juga merupakan anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut berkata pernah mengundi dalam lima pilihan raya termasuk beberapa pilihan raya kecil dan merupakan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bernilai RM500.

“Saya diberi borang, tetapi saya tidak pandai isi … semua pakcik saya tolong,” kata Peer yang lahir di Chennai, India ketika disoal oleh pegawai RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini.

“Saya diarahkan membayar duti stem sebanyak RM20, surat akuan semua ada … pak cik uruskan,” katanya lagi, yang juga tidak mempunyai sijil lahir dan data ibu bapa yang tidak lengkap di pangkalan data JPN.

Ketika disoal oleh pegawai penyiasat RCI Jamil Aripin bahawa tempat lahir sebenar dan tempat lahir yang tertera dalam kad pengenalannya juga berbeza, bekas Pegawai Perhubungan Awam Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah (DPPIMS) itu berkata beliau tidak mengetahui perkara itu dan tidak sedar bahawa beliau memperolehi kad pengenalan melalui cara yang tidak sah.

“Adakah kamu bersetuju kad pengenalan kamu diperolehi dengan cara menyalahi undang-undang?” soal Jamil. “Saya tak dapat jawab,” kata Peer, yang turut mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas pada Pilihan Raya 2013 lalu.

Peer merupakan saksi kesembilan dan terakhir untuk hari ini. Setakat ini bermula dari Januari, RCI telah memanggil 116 saksi untuk memberi keterangan berhubung siasatan pemberian kad pengenalan di Sabah pada tahun 80-an.

Awal hari ini, seorang saksi RCI berkata pihaknya mendapati terdapat sindiket-sindiket yang menjual “resit sementara” atau dikenali sebagai “kad burung-burung” kepada pendatang asing tanpa izin dari Filipina yang berada di Sabah.

Macarius Sabinus, 56, yang bekerja mendaftarkan pendatang asing tanpa izin pada tahun 1986-1988 di Sabah berkata, ketika proses itu pihaknya menemui kes-kes berkenaan dan pendatang asing tanpa izin tersebut menerima kad burung-burung berkenaan di Bongao, Filipina.

“Saya banyak menemui kes sedemikian di kawasan Sandakan, bila saya buat pendaftaran di Dewan Masyarakat, mereka tunjuk resit burung-burung yang diterima daripada orang di Bongao.

“Kad itu berbeza daripada segi rekod nombor sirinya, dan cop Jabatan Ketua Menteri (JKM) yang sebenar,” katanya, yang merupakan saksi kedua inkuiri hari ini, dan menambah, pasukannya sahaja menemui sekitar 10 kes seperti itu.

Bongao merupakan daerah yang terdapat di Pulau Tawi-Tawi milik Filipina yang berhampiran dengan kawasan perairan Sabah. Sementara resit burung-burung adalah dokumen pengenalan yang diberikan kepada warga asing tanpa izin yang didaftarkan di Sabah pada tahun 80an, sebagai bukti mereka telah didaftarkan dan bukannya perakuan warganegara seperti kad pengenalan.

Macarius merupakan Pegawai Penyelidik di Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan bagi tujuan mengumpul data pendatang asing tanpa izin, beliau dipinjamkan ke JKM pada 1985. Beliau bertanggungjawab merekod dan mendaftar pendatang asing tanpa izin di negeri Borneo itu bagi tujuan statistik dan kaji selidik terhadap pendatang asing pada masa tersebut di kawasan Sandakan, Lahad Datu, Tawau, dan Sepuluh.