king_bhumibol

Raja Bhumibol Adulyadej, Raja Thailand yang mangkat selepas 70 tahun menaik takhta, adalah raja yang paling lama memerintah di dunia. Raja yang disayangi rakyatnya itu turut dikenali sebagai Rama IX kerana dia raja kesembilan daripada Dinasti Chakri. Bhumibol dianggap rakyatnya sebagai simbol kestabilan dalam era perubahan pesat Thailand, termasuk menjadi negara industri dan perkembangan proses demokrasi negara itu akibat 10 rampasan kuasa tentera termasuk yang terbaru pada Mei 2014.

Bhumibol yang digelar ‘Por’ (Ayah) dilihat sebagai simbol penyatuan rakyat Thailand apatah lagi raja di negara itu dianggap hampir sama dengan dewa.

Berikutan kemangkatannya, ada kebimbangan ketegangan politik negara itu sejak sedekad lalu, akan lebuh meruncing.

Kesihatan Bhumibol sudah lama beransur teruk malah dia menghabiskan kebanyakan enam tahun lalu di Hospital Siriraj, Bangkok. Kali terakhir beliau dilihat di khalayak ramai ialah Januari lalu, sebelum dimasukkan ke hospital pada Mei 2015 dan dirawat kerana jangkitan kuman saluran pernafasan, paru-paru bengkak dan cecair dalam otak.

Dilahirkan di Massachusetts, Amerika Syarikat pada 5 Disember 1927, Bhumibol menaiki takhta pada 9 Jun 1946 menggantikan abangnya, Ananda Mahidol yang mangkat pada usia 21 tahun dalam kejadian yang masih menjadi misteri sehingga hari ini.

Bhumibol terkenal sebagai peminat seni fotografi dan muzik jazz malah berbakat bermain saksofon serta amat prihatin dengan isu alam sekitar dan pembangunan luar bandar.

Bhumibol mempunyai empat anak hasil perkahwinan dengan Ratu Sirikit Kitiyakara, 83, termasuk anak keduanya, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn.