Satu jawatankuasa akan ditubuh bagi menyiasat secara terperinci punca runtuhan penyambung jambatan kedua Pulau Pinang semalam, kata Exco Kerajaan Negeri, Dr. Afif Bahardin.

“Jawatankuasa ini akan turut berbincang dengan kerajaan persekutuan dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenalpasti punca utama kejadian itu. Kerajaan negeri sudah pun mengarahkan segala kerja-kerja kontraktor kawasan itu dihentikan serta-merta sejak semalam. Buat masa ini, fokus ditumpukan untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat,” ujarnya ketika dihubungi dipetik KeadilanDaily.

Menurutnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng, akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden itu hari ini.

Semalam, konkrit dan besi penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town runtuh mengakibatkan tiga cedera termasuk dua warga asing yang juga pekerja binaan itu yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.