Sepak_Takraw_Negara

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) digesa membuang sikap ego dengan memberi kerjasama penuh kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan maruah sukan tradisi itu tidak terus tercalar di pentas antarabangsa.

“Saya bimbang maruah negara akan terus tercalar jika (PSM) terus bersikap ego. Inilah hasil yang kita dapat (kegagalan di Sukan SEA 2013).

“Jadi saya berharap cadangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dapat diterima,” kata bekas pemain negara Mohd Futra Abdul Ghani yang jelas kurang senang dengan kemerosotan sukan itu.

Khairy minggu lalu dilaporkan mengumumkan kesediaan MSN bagi membantu menyelamatkan sukan itu dengan berharap kedua-dua badan itu akan bekerjasama dalam program khas yang dicadangkan bersama untuk mencapai sasaran meraih pingat emas Sukan SEA 2017 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Kenyataan itu dilihat sebagai petanda positif daripada Khairy dan membuka lembaran baru selepas September lalu “berperang” dengan PSM hingga mahu mengkaji semula peruntukan dana kepada badan itu susulan kekalahan skuad elit negara kepada Korea Selatan pada final Siri Super ISTAF di India.