rendang

Kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu memastikan agar perkara-perkara remeh membabitkan kedua-dua negara tidak mengganggu-gugat keakraban hubungan serumpun yang begitu banyak berkongsi aspek kehidupan terutamanya daripada segi budaya.

Sebagai masyarakat serumpun yang berakar umbi budaya serupa, soal mencuri budaya sesuatu negara tidak timbul malah tidak perlu diperbesar-besarkan jika rakyat kedua-dua buah negara memahami ikatan sejarah dan bagaimana sesuatu budaya itu berkembang sehingga menjadi satu bentuk budaya yang dikongsi oleh rakyat kedua-dua Negara.

Apabila Indonesia semakin kerap membangkitkan isu budaya dan menuduh Malaysia mencuri budaya negara itu sehinggakan menimbulkan ketegangan hubungan, ia tidak boleh dipandang ringan dan satu usaha di kedua-dua belah pihak perlu disegerakan bagi menjelaskan segala kekeliruan tersebut.

Ikatan serumpun yang berlangsung sejak sekian lama sudah tentunya mewujudkan ikatan dari segi budaya dan lain-lain aspek kehidupan. Tetapi dalam soal ini Indonesia dilihat lebih cenderung untuk membangkitkan isu remeh temeh berbanding Malaysia yang bersikap lebih terbuka dan tidak terikut-ikut dengan rentak agresif segelintir rakyat Indonesia yang bertindak keterlaluan. Bukan sahaja rakyat Indonesia, malah mana-mana bangsa di dunia sekali pun perlu sedar dan faham bahawa sesuatu budaya itu adalah hak milik bangsa dan bukannya menjadi milik mutlak sesebuah negara.

Contoh paling mudah, makanan barat french fries adalah makanan yang berasal daripada Perancis, tetapi diterima sebagai satu budaya dalam makanan ringan di seluruh dunia yang dipopularkan oleh Amerika Syarikat. Perancis pula tidak pernah menuntut atau cuba mempatenkan makanan ringan itu ke UNESCO untuk menjadikan makanan itu sebagai hak milik mutlak mereka. Dalam soal ini, kerajaan Perancis melihat daripada aspek yang lebih luas di mana penerimaan secara meluas masyarakat dunia terhadap makanan tersebut sebenarnya memberi impak positif terhadap negaranya tanpa perlu bersusah payah mendapatkan hak ke atasnya.

Apabila kerajaan Indonesia membawa isu rendang yang berasal daripada Sumatera Barat khususnya ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), bukan sahaja rakyat Malaysia yang memandang sinis tetapi juga budayawan Indonesia sendiri tidak berapa setuju dengan tindakan kerajaan negara itu mempatenkan rendang sebagai warisan budaya Indonesia.

Seperti mana yang dilaporkan oleh Jakarta Post, pakar kulinari terkemuka Indonesia, William Wongso, menggesa agar isu rendang tidak perlu diperbesar-besarkan, malah hidangan itu tidak perlu dipatenkan walaupun ia berasal dari Sumatera Barat kerana masyarakat Minang dan Melayu di Malaysia juga mempunyai hak ke atasnya dan rendang juga adalah makanan tradisi, walaupun ia berakar umbi dari Sumatera Barat.

Persoalannya, mengapa Indonesia begitu beria-ia mempatenkan rendang sehingga ke UNESCO? Sepatutnya Jakarta tidak perlu risau rendang akan dituntut oleh Malaysia sebagai warisan tradisi atau bersikap mementingkan diri kerana masakan rendang adalah warisan budaya rumpun Melayu yang turut berkembang di Malaysia sejajar dengan penghijrahan yang berlaku dalam alam Melayu berabad lamanya.

Jika Malaysia ingin bersikap seperti Indonesia, Malaysia juga boleh mengambil pendirian serupa dengan mewartakan permainan kompang yang juga dimainkan di beberapa wilayah di Sumatera seperti di Riau, Jambi dan Palembang sebagai hak dan warisan Melayu Malaysia kerana berasal daripada negeri Johor.

Begitu juga dengan songket. Siapa yang berhak untuk menentukan ia sebagai warisan budaya negara? Malaysia memiliki seni tenunan songket begitu juga dengan masyarakat Melayu di Palembang dan Kepulauan Riau. Jika semua pihak memahami bahawa budaya adalah milik bangsa dan bukannya milik negara, perkara sebegini tidak akan timbul.

Malah jika semua pihak memahami, perkongsian budaya antara kedua-dua negara ini sebenarnya banyak manfaatnya jika digunakan dengan cara yang wajar. Berbalah dalam soal yang kecil dan remeh tidak menguntungkan jika dinilai daripada ikatan sejarah dan hubungan serumpun kedua-dua negara yang menuntut lebih banyak cabaran untuk kembali muncul sebagai bangsa yang hebat yang pernah dilalui oleh alam Kepulauan Melayu satu ketika dulu.