Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat hari ini di Petaling Jaya meluluskan usul bagi menangguhkan pemilihan kepimpinan parti itu sehingga bulan November ini. Usul yang dibentangkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail diterima sebulat sura oleh para perwakilan.

Mengikut perlembagaan PKR, tempoh pemegang jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) adalah tiga tahun, dan hanya akan berakhir pada November tahun ini. Saifuddin ketika membentangkan usul itu berkata penangguhan itu bertujuan memberi laluan kepada PKR untuk memperkemaskan strukturnya.

Pada sidang Rabu lalu, Saifuddin menjelaskan, pertimbangan untuk penangguhan itu dibuat kerana jentera parti baharu sahaja berhadapan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) dan perlu membina semula kekuatan parti.

“PRU 13 merupakan satu pertempuran besar yang memakan belanja dan tenaga yang banyak, sebab itu kita perlu menimbangkan sama ada perlu memperkemas semula saf pasukan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya sudah menghubungi Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung perkara itu.