Para peyokong membuat kecoh ketika hendak membeli tiket perlawan

Jualan tiket perlawanan akhir Piala FA di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV pagi ini menjadi kecoh selepas tiket yang dijual habis dalam tempoh kurang 15 minit sekaligus mengakibatkan penyokong Kelantan bertindak mengejar penjual tiket sehingga ke dalam stadium. Tinjauan ketika sesi jualan tiket di perkarangan stadium bermula jam 9 pagi mendapati pada mulanya keadaan tenang namun suasana bertukar huru-hara selepas pengumuman tiket habis dijual dibuat kira-kira jam 10.30 pagi.

Kaunter tiket dibuka dalam jam 9.15 pagi namun kira-kira 3,000 penyokong The Red Warriors (TRW) yang hadir mendakwa hanya 16 tiket dijual kepada empat pembeli dalam tempoh kurang 15 minit. Kemarahan penyokong bertambah apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mula menjual tiket perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang yang akan berlangsung malam ini, mengecewakan segelintir penyokong yang hadir seawal jam 6 pagi untuk mendapatkan tiket final Piala FA. Sejurus pengumuman tiket final FA habis dijual dibuat, penyokong TRW menyerbu jurujual tiket dengan memecah masuk ke dalam stadium menerusi pintu masuk utama dan mengejarnya sehingga ke dalam padang.

Hasil tindakan itu, penyokong merampas beg tiket daripada jurujual namun hampa kerana hanya menjumpai tiket perlawanan Liga Super di dalam beg berkenaan. Bagaimanapun, penyokong bertindak mengoyak tiket Liga Super berkenaan sebagai tanda tidak puas hati malah ada segelintir berpakat tidak mahu hadir memberi sokongan untuk perlawananan malam ini.

Penyokong, Shahril Abdullah, 22 dari Pasir Puteh berkata, KAFA perlu bertanggungjawab dengan kemarahan penyokong yang sanggup menunggu seawal jam 6 pagi untuk mendapatkan tiket. Katanya, kejadian itu antara yang paling teruk berlaku selepas beberapa kali pasukan Kelantan beraksi di pentas final malah menyifatkan KAFA gagal menangani masalah berkenaan.

“Adakah ini balasan KAFA kepada penyokong selepas kami tidak putus-putus memberi sokongan kepada pasukan selama ini? Saya sanggup datang seawal jam 6.30 dan mengambil cuti bekerja semata-mata untuk mendapatkan tiket.

“Masalah ini mesti berlaku setiap kali Kelantan mara ke perlawanan akhir malah saya rasa kejadian hari ini paling teruk.

“KAFA gagal menangani masalah ini dan mereka perlu bertanggungjawab. Kami datang dari jauh untuk dapatkan tiket final Piala FA bukannya Liga Super,” katanya ketika ditemui di perkarangan stadium.

Seorang lagi penyokong, Mohd Asari Saufi, 43 berkata, kegagalan KAFA memaklumkan jumlah sebenar tiket yang diedar mengakibatkan ramai penyokong teraniaya dan tertipu.

“Sepatutnya KAFA umum jumlah tiket yang dijual di stadium supaya tidak menyusahkan penyokong yang datang dari jauh. Kejadian hari ini menyebabkan ramai penyokong teraniaya dan tertipu malah menyusahkan penyokong yang datang dari jauh,” katanya.

Sementara itu menurut sumber dalaman KAFA, insiden kekecohan itu boleh dielakkan jika pihak pengurusan penjualan tiket mengikut cadangan yang disuarakan sebelum ini.

“Dalam mesyuarat semalam, kami sudah mencadangkan agar kaunter penjualan tiket Liga Super dan Piala FA diasingkan tapi sebaliknya cadangan itu diendahkan oleh pihak jawatankuasa tiket. Bagaimana penyokong tidak mengamuk kalau sebelum ini mereka mengumumkan tiket akan dijual hari ini tapi malangnya tiket yang dijual tidak sampai 30 keping,” katanya yang tidak mendapat tahu kemana baki tiket itu diagihkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baru, Superintenden Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kekecohan yang berlaku di SSMIV. Katanya, polis menerima tiga laporan daripada penyokong Kelantan yang tidak berpuas hati dengan isu kegagalan KAFA menyediakan tiket yang mencukupi kepada peminat.

“Kita serahkan masalah ini kepada KAFA untuk menanganinya kerana kita tidak terbabit dalam jualan tiket.
“Apa pun kita harap KAFA prihatin dengan nasib penyokongnya sendiri dan segera menyelesaikan masalah ini,” katanya.