Jambatan Kedua Pulau Pinang 2

Jalan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang berhadapan dengan kilang Motorola di sini runtuh kira-kira jam 7.15 malam tadi. Menurut jurucakap Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), runtuhan berkenaan adalah sebahagian daripada ‘ramp’ di bawah kerja-kerja pembinaan pakej 3A yang sedang giat dijalankan.

Beliau berkata, siasatan lanjut berkenaan punca kejadian sedang dijalankan dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan esok.

“Kita masih siasat punca kejadian dan JKSB akan keluarkan kenyataan berhubung kejadian ini selewat-lewatnya pagi esok,” katanya ketika dihubungi di sini. Sehingga kini kerja-kerja mengalihkan runtuhan sedang giat dijalankan oleh anggota penyelamat. Jumlah kenderaan dan mangsa yang terlibat belum dapat dipastikan.

Projek pembinaan jambatan kedua itu dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 dan kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 3 Mac 2009. Ketika ini sebanyak 94 peratus kerja-kerja pembinaan berjaya dilaksanakan.