Seorang wanita terpaksa melahirkan bayi lelakinya di atas jalan di lorong belakang sebuah bank di Bandar Puteri, Puchong secara berseorangan. Ketika kejadian dia terasa hendak bersalin dan bertindak nekad melahirkan anaknya di belakang premis terbabit, kelmarin.

Bagaimanapun wanita berusia 23 tahun itu tidak bernasib baik apabila kandungannya songsang menyebabkan dia mengalami kesukaran hendak bersalin dan terpaksa bertarung nyawa hampir sejam untuk melahirkan kandungannya tanpa bantuan sesiapa. Lebih menyedihkan, bayi lelakinya juga gagal diselamatkan apabila kakinya yang terkeluar terlebih dahulu menyebabkan bayi itu kelemasan sebelum meninggal dunia sebaik ibunya selamat bersalin.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, wanita terbabit yang masih belum berkahwin menaiki motosikal berseorangan jam 10.40 malam kelmarin sebelum tiba-tiba dia rasa sakit hendak bersalin.

“Panik dengan situasi itu, mangsa memberhentikan motosikalnya di lorong belakang sebuah bank dan bertindak berani cuba melahirkan anaknya. Mangsa yang tidak tahu kandungannya songsang bagaimanapun mengalami kesukaran untuk bersalin, namun selepas berhempas pulas akhirnya dia berjaya melahirkan bayinya itu. Bayinya gagal diselamatkan akibat lemas,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang berlumuran darah dan tidak bermaya hanya tersandar di tepi dinding premis terbabit sebelum kebetulan seorang lelaki yang melalui kawasan itu menyedari kejadian terbabit.

“Lelaki itu yang menyangka mangsa ingin membuang bayi terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum unit peronda polis (MPV) tiba di tempat kejadian mendapati wanita terbabit sebenarnya baru lepas bersalin. Polis kemudian membawa mangsa dan bayi yang sudah tidak bernyawa itu ke Hospital Serdang,” katanya.

Sumber itu berkata, ahli keluarga mangsa yang dimaklumkan kejadian itu juga terkejut dengan berita diterima mereka kerana tidak mengetahui anak mereka mengandung.

“Difahamkan wanita terbabit sebelum ini tidak pernah berkawan dengan lelaki kerana dia sering membawa pulang rakan perempuan dipercayai ‘teman wanitanya’ kerana sikapnya yang seperti lelaki,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian.