Kira-kira 200 pemberontak Mao disyaki melepaskan tembakan ke arah sebuah konvoi yang membawa pemimpin dan penyokong Parti Kongres India di timur India. Pegawai kanan polis M. Gupta berkata, kejadian itu menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 24 yang lain cedera parah dalam kejadian di selatan Raipur, Chhattisgarh.

“Dua pemimpin parti dan lima pegawai polis antara yang maut dan selebihnya adalah penyokong parti,” katanya menurut laporan AP.

Sementara itu Presiden Parti Kongres India, Sonia Gandhi, mengecam perbuatan itu yang disifatkan sebagai serangan pengecut.

“Kami cabar mereka untuk tampil dan kita akan selesaikan mengikut cara perundangan sejajar dengan demokrasi yang diamalkan di negara ini,” katanya.

Pemberontak Mao yang dikenali sebagai Naxalites dipercayai melakukan serangan itu kerana mendakwa kerajaan tidak menjaga kebajikan mereka yang rata-ratanya dari golongan petani dan miskin.