Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada hari Khamis mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.

Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar merumuskan soal tanah adalah motif utama pembunuhan Sosilawati.

Katanya beliau pernah menyebut pada peringkat kes pendakwaan bahawa mungkin motif dan alasan untuk membunuh Sosilawati ialah ketidakupayaan tertuduh pertama Pathmanabhan untuk menjelaskan pembayaran cek yang dikeluarkan kepada Sosilawati.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira keterangan Pathmanabhan, beliau mendapati terdapat alasan lain yang lebih menyakinkan yang secara tidak sengaja diberitahu oleh Pathmanabhan sendiri dalam keterangannya iaitu soal tanah, katanya.

(Sumber Berita)