Dirang

Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Muidin Maidin selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5 tahun. Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Muidin, 27 yang berketurunan Sulu, dituduh membunuh kanak-kanak itu di ladang kelapa sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam antara jam 11:30 pagi 1 Mac 2012 hingga 12 tengah malam 2 Mac 2012. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dirang dilaporkan hilang 1 Mac tahun lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam. Ujian DNA mengesahkan rangka yang ditemui pada 8 Mac 2012 itu adalah Dirang, dengan punca kematian akibat dibunuh dan dibakar.