UIA

Ada orang berkata, di universiti kita diajar untuk makan gaji. Ada juga orang yang berkata itu hanya pembohongan kerana keputusan di tangan sendiri. Mungkin ramai yang tidak sedar tentang variasi gaya dan kemampuan berfikir manusia. Pergi universiti pada asasnya bukan penentu kejayaan manusia, usaha dan ketentuan Allah itu faktor yang lebih utama.

Pada sesetengah orang, mereka ada misi yang tersendiri. Ada yang sejak kecil lagi mengejar cita-cita, umpamanya hendak menjadi doktor. Kalau tidak diterima masuk ke universiti, memang tidak boleh menjadi doktor. Asasnya, dari sudut kelulusan dan ilmu khas untuk mendapatkan kelayakan untuk berkerjaya tertentu, universiti itu banyak kepentingannya. Begitu juga pada trend masyarakat hari ini, sekiranya anda tiada kelayakan atau jawatan maka anda tiada suara dan tidak wajar idea anda dipertimbangkan.

Namun, pada sudut yang lain universiti juga dalam sesetengah keadaan mengecilkan skop pandangan manusia terhadap kemampuan diri sendiri. Mahasiswa dibina untuk menjadi pekerja dalam bidang yang diceburinya dan tidak dalam bidang yang lain. Lebih tinggi pengajiannya di dalam sesuatu bidang, lebih terikat dirinya kepada bidang tersebut.

Keterikatan seorang graduan kepada bidangnya bukan saja pada kemampuan bekerja, tetapi juga pada pemikiran dan ego individu itu sendiri. Kesukaran untuk menerima pekerjaan di luar bidang, ketidakpuasan hati untuk menerima pekerjaan yang dianggap tidak setara dengan kelulusan.

Kesan psikologi ini bukan saja terkena kepada yang berjaya di universiti, tetapi juga kepada yang tidak berjaya. Lulusan kelas bawahan dan juga yang tercicir di tengah jalan. Kegagalan memberi suatu calar kepada ego manusia. Bagi seorang yang gagal di universiti, wujud tanggapan yang rendah terhadap diri, inferiority complex dan sebagainya.

Persoalan yang seringkali tidak dipandang adalah dari manakah punca kegagalan itu? Adakah memang kerana mereka tidak mampu? Ya, tetapi pastinya tidak semua.

Sistem universiti masih tidak begitu mesra kepada variasi pemikiran manusia. Percaya atau tidak, sebahagian besar mahasiswa dan graduan di universiti adalah YES MAN. Jika kemampuan manusia diukur dengan neraca yang salah, maka hasil ukuran pastinya tidak tepat. Tetapi manusia juga membuka barang dagangan, anda sendiri berhak memilih neraca timbangan untuk kemampuan anda. Kata Albert Einstein:

“Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid.”

Ke universiti satu pilihan, bukan kemestian. Ada keperluan untuk sesetengah pihak, tidak untuk sesetengah yang lain. Islam memberi perhatian pada setiap aspek kehidupan manusia. Ketaksuban kepada sesuatu bidang, pengecilan skop pemikiran dan ketiadaan usaha itu yang menyusahkan anda. Bukan diterima masuk ke universiti atau tidak.