Pahang menjadi persatuan bola sepak negeri paling tinggi dikenakan hukuman dalam sejarah bola sepak negara apabila didenda k RM100,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – semuanya gara-gara kekecohan yang berlaku pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin. Skuad Tok Gajah juga kehilangan hak untuk bermain selaku tuan rumah apabila terpaksa beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil menentang Johor Darul Takzim, malah terpaksa menanggung semua perbelanjaan pasukan lawan.

Bagaimanapun, Datuk Haimidin Mohd. Amin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan masih berlembut membenarkan kehadiran penyokong pada perlawanan tersebut yang akan dijadualkan berlangsung 4.15 petang.

“Atas gagal mengawal faktor keselamatan sebelum perlawanan, kehadiran penonton di atas trek dan penyokong tuan rumah menyerbu ke arah penonton Johor sebaik sahaja perlawanan ditangguhkan, Pahang dikenakan denda maksimum RM100,000 dan tidak boleh mengemukakan sebarang rayuan. Pahang juga terpaksa beraksi di stadium berkecuali yang telah ditetapkan oleh FAM iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Jun, Sabtu ini dan perlu menanggung semua perbelanjaan skuad Johor DT selama dua malam termasuk penginapan hotel dan pengangkutan.

“Johor DT pula melakukan dua kesalahan iaitu para pemain telah meninggalkan stadium sebelum 90 minit masa perlawanan dan para penyokongnya berada di dalam trek, mereka dikenakan denda RM20,000,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Menyentuh aksi separuh akhir kedua di Piala FA yang akan diadakan di Bukit Jalil, Hamidin berkata, mereka tiada pilihan lain selain terpaksa melangsungkannya di situ selepas Stadium Shah Alam tidak dapat digunakan kerana telah ditempah bagi kegunaan majlis lain.

“Bukit Jalil hanya boleh dimainkan di sebelah petang kerana lampu limpah di situ masih tidak dapat digunakan dan situ sahaja pilihan kita ada kerana Shah Alam akan digunakan untuk sebuah konsert. Aksi antara Pahang dan Johor DT akan diuruskan sepenuhnya di bawah pengelolaan FAM iaitu melalui Jawatankuasa Tiket dan Pintu. Semua penyokong Pahang boleh menebus tiket di pejabat PBNP dan tiket baru akan dikeluarkan pada Sabtu iaitu hari perlawanan bermula sembilan pagi,” katanya.

Jelas Hamidin, JKPT mempunyai hak untuk mengenakan hukuman ke atas persatuan bola sepak negeri mengikut Peraturan 8.1 dan tidak semestinya perlu menunggu Jawatankuasa Tatatertib untuk bersidang.

“JKPT boleh menjatuhkan hukuman kepada mana-mana persatuan bola sepak negeri jika gagal mematuhi piawaian keselamatan kerana perkara ini termaktub di bawah Peraturan 8.1 FAM. Selepas hukuman ini dikenakan, tiada lagi denda lain akan dikenakan di bawah Jawatankuasa Tatatertib dan hukuman ini adalah muktamad,” katanya.