Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, telah dilarang daripada memasuki negeri Sabah pada petang Khamis setelah dihalang oleh pihak Imigresen di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA), atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah. “Mereka akan hantar saya pulang. Saya sedang berurusan dengan jabatan Ketua Menteri Sabah,” kata beliau dipetik dari laporan media.

Nurul Izzah Makan KFC

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Darell Leiking, yang sedang menunggu ahli Parlimen Lembah Pantai itu di KKIA menulis di akaun Twitternya mengatakan dia sedang menunggu semakan sama ada Nurul Izzah disenaraihitamkan.

“Saya ditahan oleh imigresen Sabah dan diarah pulang oleh pejabat ketua menteri Sabah. Beginilah nasib demokrasi pasca-PRU13. Just you wait BN” tulis Nurul melalui akaun Twitter @n_izzah pada kira-kira jam 7.30 petang tadi. Katanya, beliau tidak dibenarkan berjumpa Darell, yang juga ahli parlimen Penampang dan bertindak sebagai peguamnya.

Nurul Izzah adalah naib presiden PKR kedua yang tidak dibenarkan masuk ke Sabah. Sebelum ini, seorang Naib Presiden PKR, iaitu Chua Tian Chang dihalang masuk oleh imigresen Sabah tidak lama selepas insiden Lahad Datu pada bulan Februari.

“Terdapat ahli Parlimen lain yang tidak akan dibenarkan masuk ke Sabah. Apabila ditanya nama [mereka yang] tidak akan dibenar masuk, [pihak imigresen berkata ia] dianggap rahsia,” tambah beliau lagi.