Nombor pendaftaran kenderaan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bermula dengan siri nombor baru iaitu W (nombor 1 sehingga 9999) dan berakhir A, dijangka pada Julai depan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini. Beliau berkata nombor pendaftaran kenderaan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini mencapai nombor siri WYK 6xxx dan ia akan berakhir dengan siri nombor WYY 9999 dalam tempoh terdekat, berkemungkinan Julai ini.

Katanya, terdapat 13 siri lagi sebelum mencapai siri nombor pendaftaran WYY.

“Sehubungan itu, adalah diputuskan bahawa siri nombor pendaftaran baru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bermula dengan W 1 A dan berakhir dengan W 9999 A.

“Siri berikutnya adalah W 1 B Sehingga W 9999 B, diikuti dengan W 1 C dan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Setelah berakhir dengan siri nombor W 9999 Y, ia akan bersambung dengan WA 1-9999 A sehingga WY 1-9999 Y dan WAA 1-9999 A sehingga WAY 1-9999 Y.

Siri baru ini akan berakhir dengan WYY 1-9999 Y.