Badi Laura Massaro terus menghantui ratu skuasy negara Datuk Nicol David di Hull, England. Laura, pilihan kedua dari England, menundukkan pemain nombor satu dunia itu 11-4, 3-11, 12-10, 11-7 untuk menjuarai Terbuka British buat kali pertama di Stadium KC. Kemenangan itu juga bermakna dia berjaya menafikan usaha Nicol mempertahankan kejuaraan selain memenanginya buat kali kelima.

Ia juga kemenangan kelima Laura ke atas jaguh negara sejak kali pertama bertemu pada 2005. Daripada empat pertemuan tahun ini, Nicol hanya menang sekali ke atas jaguh England itu dan kalah tiga kali termasuk pada separuh akhir Terbuka Kuala Lumpur Mac lalu.

Nyata Nicol bagaikan tiada jawapan terhadap permainan hebat lawannya itu pada perlawanan akhir malam tadi.

“Secara asasnya, saya lebih banyak memerhatikan apa yang dia lakukan dan tidak menumpukan terhadap pukulan saya. Dia bermain dengan baik dan saya cuba bertindak lebih baik.

“Namun jangkauannya lebih bagus dan dia membalas setiap pukulan saya. Saya mengucapkan tahniah kepadanya dan dia sememangnya semakin meningkat.

“Saya sedar permainan saya masih bagus, saya bekerja keras tapi ada harinya semua tidak menjadi dan lawan saya tampil lebih hebat, dia mencari setiap kelemahan dan hari ini ia memihak kepadanya,” kata Nicol.