Nazmi-Faiz

Pasukan Harimau Muda akan bersaing dalam Sukan Universiti Dunia 2013 (Universiade) pada bulan Julai ini sebagai salah satu persiapan dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA. Walaubagaimanapun, bekas pemain Harimau Muda, Nazmi Faiz tidak disenaraikan untuk kejohanan ini kerana tidak layak atas sebab dia tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menjadi syarat untuk menyertai Universiade.

Selain Nazmi, Rozaimi yang kini bersama Harimau Muda di Slovakia juga terpaksa dikecualikan atas sebab yang sama.

Namun, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan Nazmi akan dipanggil untuk Pestabola Merdeka dan Sukan SEA jika pemain itu beraksi cemerlang dalam saingan Piala Malaysia bersama PKNS.

“Saya akan menilai prestasinya dalam Piala Malaysia sebelum membuat keputusan. Dia pemain yang berbakat dan saya akan memerhatikan perkembangannya,” kata Kim Swee.

Tambahnya lagi: “Nazmi dan Rozaimi tidak layak untuk ke Kazan nanti tetapi masih boleh dipertimbangkan untuk kejohanan yang lain.”

Kim Swee juga telah memanggil lapan pemain dari Liga Malaysia untuk mengukuhkan pasukan yang kini dibelenggu masalah kecederaan.