Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata beliau menunggu surat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat selama empat bulan berhubung permohonannya melawat tapak serta laporan projek pembinaan hospital di kawasannya.

Selaku wakil rakyat Shah Alam, Khalid berkata beliau bertanggungjawab untuk mengetahui perkembangan pembinaan hospital tersebut. Katanya lagi, surat permohonan untuk melawat tapak serta laporan tentang projek pembinaan itu telah diberi kepada syarikat kontraktor pembinaan pada Februari lalu. Bagaimanapun, katanya, syarikat tersebut meminta beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat, untuk memohon pada JKR negeri pada bulan yang sama.

“Lepas hantar surat pada JKR negeri, dia jawab kena dapatkan kelulusan daripada JKR Pusat dan saya telah hantar surat. Sampai sekarang saya tak dapat surat balasan. Ini bukan nak bina tempat simpan nuklear. Ini hospital. Apa susah sangat nak beri kebenaran dan laporan. Mereka cuma perlu beri penerangan dan sejauhmana projek itu dah berjalan seperti yang dirancang.

“Ini bukan milik Umno. Ini milik rakyat. Bukan guna duit Umno tapi duit rakyat. Dan saya wakil rakyat kepada rakyat Shah Alam,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III Selangor berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya hari ini.