Setelah penangguhan perkahwinannya selama hampir setahun, penyanyi Misha Omar mengakui yang beliau tidak sabar untuk menamatkan zaman bujangnya tahun depan. Penyanyi lagu Angin Surga itu telah mengikat tali pertunangan dengan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Mohd Firos Ezzwan Rossly, pada tanggal 21 Februari tahun lalu.

Namun, Misha mengakui komitmen pada kerja merupakan faktor utama mereka menangguhkan majlis perkahwinan mereka. Penyanyi itu mengakui yang beliau dan Firos sedang sibuk dengan karier masing-masing. Misha sibuk dengan rakaman album terbarunya yang bakal diedarkan bulan depan. Firos pula sibuk menggalas tanggungjawab baru selepas mendapat kenaikan pangkat di syarikat penerbangan tersebut.

“Perancangan untuk berkahwin pada tahun ini memang ada namun kami terpaksa melupakan hasrat itu kerana sibuk dengan karier masing-masing. Saya sedang memberikan tumpuan pada pembikinan album barunya dan Firos pula sangat gembira kerana diberi tanggungjawab mengemudi kapal Airbus A330 sejak Februari lalu.

Tambah Misha, mereka berdua mempunyai tahap persefahaman yang tinggi terhadap kehendak karier mereka.

“Saya menghormati karier Firos dan oleh itu saya harus memberikan beliau laluan untuk menumpukan perhatian terhadap tugas hariannya. Saya tak mahu memberikan apa-apa tekanan padanya,” kata Misha sewaktu dihubungi.