destinasi_utama

Ekspatriat memilih Malaysia sebagai salah satu destinasi utama untuk berhijrah, berada pada kedudukan ke-19 daripada senarai 20 negara, menurut laporan kajian The Expat Explorer 2014. Laporan tersebut mengatakan antara faktor ekspatriat memilih Malaysia adalah kerana kos yang efektif dan menawarkan kemudahan penginapan berkualiti tinggi berpatutan.

“Kebanyakan mendapati Malaysia kos efektif dan juga destinasi yang menarik. Responden dilaporkan berkata penginapan mudah dicari, berkualiti tinggi dan tidak terlalu mahal,” kata laporan tersebut.

Hampir 63% responden menyifatkan penginapan mudah dicari, 37% mengatakan ia lebih berkualiti tinggi berbanding di tanahair mereka dan sementara itu 34% berbelanja 34% lebih rendah dalam perumahan berbanding sebelumnya. Utiliti juga antara bahagian di mana ekspatriat dapat berjimat, 37% lebih rendah berbelanja dalam membayar bil.

Seramai 9,300 ekspatriat dari seluruh pelosok dunia mengambil bahagian dalam kajian yang dijalankan oleh YouGov, salah satu badan kajian ekspatriat terbesar dunia. Selain itu, ekspatriat juga berkata Malaysia destinasi terbaik untuk mencuba suatu yang baru dan peluang pekerjaan yang besar di Malaysia juga menjadi faktor mereka memilih negara ini.‎

“Ekspatriat yang mencari suatu yang baru cenderung memilih Malaysia, 49% responden memberitahu ini menjadi motivasi penghijrahan mereka. Mencari cabaran baru antara alasan yang popular untuk ekspatriat pindah ke Malaysia, disusuli dengan peluang pekerjaan,” kata laporan itu lagi.

Majoriti responden dalam kajian yang ditemui di Malaysia berasal dari United Kingdom, iaitu sebanyak 27%.

Masalah utama yang disuarakan responden mengenai Malaysia adalah isu bahasa di mana mereka sukar untuk belajar, 47% responden mengatakan bahasa Malaysia sebagai sukar. Bagaimanapun, ia tidak menjadi alasan untuk mereka memilih Malaysia sebagai destinasi utama bagi berhijrah.

Sementara itu, Switzerland masih menjadi destinasi utama para eskpatriat disusuli negara jiran, Singapura berada di tangga kedua. Sebuah lagi negara jiran, Thailand pula berada di tangga ketujuh.

Dalam kajian pada tahun ini, Asia muncul sebagai benua terbaik bagi kesejahteraan kewangan, dengan hampir satu perlima (19%) ekspatriat berpendapatan AS$200,000 (RM652,000) setahun dan 65% berkata mereka memiliki lebih banyak pendapatan boleh guna sejak dipindahkan.