Long Road

Lebuhraya Tarim merupakan laluan padang pasir yang terletak di Taklamakan, China dan menghubungkan bandar-bandar Luntai dan Minfeng. Panjang penuh lebuhraya ini ialah 552km dengan kira-kira 446km dibina merentasi kawasan yang tidak didiami manusia, dengan bukit-bukit sehingga 20 meter tinggi melindungi lebuhraya berkenaan.

Dalam usaha untuk menangani masalah pasir bukit menutupi laluan, sebaris tumbuh-tumbuhan telah ditanam di kedua-dua belah lebuhraya ini. Sistem pengairan juga telah dibina untuk membekalkan sumber air dari tangki simpanan bawah tanah untuk tumbuhan ekosistem tiruan tersebut. Sumber air di padang pasir itu datang dari sebuah telaga, iaitu akuifer pada kedalaman 100 meter. Walaupun terdapat kandungan garam yang tinggi di dalam air itu, tumbuhan di sepanjang jalan raya itu masih dapat terus hidup.

Dalam tempoh lima tahun, kerajaan telah melakukan eksperimen dengan pelbagai jenis tumbuhan yang boleh hidup dalam keadaan ekstrem padang pasir. Pada tahun 1999, sebuah projek permulaan zon tumbuhan di sepanjang bahagian 6.3 kilometer lebuhraya telah selesai dilaksanakan. Pada tahun 2001, projek ini telah dilanjutkan sehingga 30.8 kilometer di sepanjang lebuhraya berkenaan. Projek ini akhirnya diluluskan oleh kerajaan pada tahun 2003. Hari ini, hampir empat per lima lebuhraya tersebut dikelilingi oleh penanaman tumbuhan pada keluasan 72 meter lebar, yang meliputi kawasan seluas lebih 3000 hektar.

Lebuhraya padang pasir Tarim ini turut mempunyai nilai ekonomi yang besar, di mana ia menjelaskan mengapa langkah-langkah yang mahal dan rumit perlu diambil untuk menjaganya. Lebuhraya ini dibina pada tahun 1995 sebagai perkhidmatan kepada saluran paip minyak, yang berada di bawah padang pasir Taklamakan itu. Di bawah pasir ini terdapat sumber minyak terbesar untuk PetroChina. Lebuhraya ini bukan sahaja membolehkan akses secara langsung kepada sumber-sumber yang terletak di bawah Lembangan Tarim, tetapi juga dijadikan jaringan pengangkutan bagi barang-barang dan sumber-sumber daripada medan minyak tersebut. Oleh sebab kawasan ini tidak didiami manusia, stesen minyak dan beberapa restoran telah dibina pada titik perantaraan di sepanjang lebuhraya untuk perkhidmatan kepada pelancong.