Lagu P. Ramlee Jadi Helah Untuk Menyamun

Bagaikan 40 penyamun dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, tiga penjenayah dengan selamba memunggah paip Polyvinyl Chloride (PVC) bernilai RM70,520 sambil menyanyikan lagu ‘Hoi Hoi Ya Hoi’ ketika memunggah paip PVC itu di Jalan Muar – Segamat berhampiran Kampung Lubok Bandan, semalam.

Dalam kejadian jam tujuh pagi itu, tiga lelaki berkenaan dipercayai menyanyikan lagu klasik itu bagi mengaburi kakitangan syarikat pemasangan paip berkenaan ketika memunggah 164 batang paip PVC jenis AB3P 155 milimeter (mm) di stor penyimpanan paip itu.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, tindakan tiga lelaki berusia 23, 33 dan 43 tahun itu gagal apabila kakitangan syarikat itu menjalankan pemeriksaan sebelum menghubungi polis.

“Sebaik menerima panggilan telefon, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi dan melakukan penyamaran sebelum mendapati tiga suspek berusaha memunggah 164 batang paip PVC jenis AB3P 155 mm di stor ke dalam dua lori masing-masing satu treler dan lori kontena.

“Kejadian disedari seorang kakitangan syarikat pemasangan paip yang bertugas berhampiran Kampung Lubok Bandan, apabila terdengar seorang daripada suspek menyanyikan lagu 40 penyamun itu dengan kuat selain tidak mengendahkan pertanyaan mengenai surat pengesahan kerja memunggah yang dilakukan itu.

“Kakitangan itu kemudian menghubungi seorang jurutera tapak projek bagi mendapatkan kepastian kerja mengalihkan 164 paip PVC itu, namun jurutera itu menafikan pernah memberikan sebarang arahan sebelum menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada suspek dikatakan cuba melambatkan usaha kakitangan syarikat itu dengan memberikan pelbagai alasan termasuk menyanyi dengan nada kuat apabila ditanya berkaitan surat kebenaran memunggah paip.

Katanya, anggota polis yang tiba menyamar sebagai kakitangan syarikat pemasangan paip itu sebelum melihat dua lori bersama dua lelaki lain sibuk memikul beberapa paip PVC dan memunggah peralatan itu ke dalam dua lori berkenaan.

“Tiga lelaki itu diberkas di lokasi dan mereka dipercayai pemandu dua lori berkenaan, manakala seorang lagi adalah kelindan lori.

“Pemeriksaan awal mendapati, tiga lelaki itu berasal dari daerah lain dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bagi membantu siasatan,” katanya.