Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meminta kira-kira 6.85 juta ahlinya supaya memeriksa penyata kira-kira KWSP masing-masing bagi mengesahkan caruman mereka dibayar dengan betul dan tepat.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, ahli KWSP juga diingatkan mereka yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah menerima 13 peratus caruman daripada majikan manakala ahli berpendapatan RM5,000 ke atas menerima 12 peratus caruman.

“Bagi memastikan ahli tahu mengenai simpanan mereka, KWSP baru-baru ini telah selesai menghantar penyata kira-kira tahunan untuk 2012 kepada 6.85 juta ahli KWSP,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Nik Affendi bagaimanapun berkata, ahli KWSP boleh juga mendapatkan penyata kira-kira mereka melalui sistem elektronik yang disediakan KWSP iaitu i-Akaun dan Kios KWSP.

Menurut beliau, melalui i-Akaun ahli mempunyai kemudahan untuk mengakses penyata KWSP pada bila-bila masa dam Kios KWSP pula membolehkan ahli mencetak penyata kira-kira menggunakan MyKad.

Tambah beliau, ahli KWSP juga boleh mendapatkan penyata kira-kira di cawangan KWSP berdekatan dengan mengemukakan kad pengenalan mereka tetapi menegaskan ahli tidak dibenarkan mendapatkan penyata kira-kira melalui telefon sebagai langkah keselamatan.

Nik Affendi dalam pada itu mengingatkan ahli KWSP yang telah berpindah supaya mengemas kini alamat kediaman kerana penyata kira-kira akan dipos ke alamat yang berdaftar dalam rekod KWSP.

“Ini adalah untuk memastikan penyata yang mempunyai maklumat sulit tidak terjatuh ke tangan pihak yang lain,” tegas beliau.

Katanya, ahli KWSP boleh juga mengemas kini alamat kediaman melalui kemudahan i-Akaun yang terdapat di laman web myEPF (www.kwsp.gov.my) atau dengan mengisi Borang KWSP 3 dan mengemukakannya ke cawangan KWSP berdekatan berserta salinan kad pengenalan mereka.