Kumpul dana rumah mudah alih rakyat Gaza

Bagi membantu penduduk Palestin tinggal lebih selesa terutama bagi menghadapi musim sejuk hujung tahun ini, Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MySet) dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia Bhd (HCMB) melancarkan Tabung Pembangunan Gaza. Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelancaran tabung itu bagi membiayai pembelian rumah atau kabin mudah alih untuk menggantikan kediaman mereka yang musnah akibat serangan tentera rejim Zionis.

“MySet menyasarkan kutipan dana RM3.1 juta untuk membeli rumah mudah alih yang berharga RM6,541 setiap satu, selain menggunakan dana berkenaan membaiki kemudahan lain.

“Rumah atau tempat tinggal amat diperlukan rakyat Palestin terutama kepada hampir 100,000 bayi dan kanak-kanak yang terjejas memandangkan musim sejuk akan tiba tidak lama lagi,” katanya. Turut hadir adalah Presiden MySet, Datuk Abang Abdullah Abang Ali dan Pengerusi HCMB Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.

Terdahulu, Fadillah mengumumkan sumbangan RM550,000 hasil kutipan pelbagai syarikat berkaitan konsesi lebuh raya, pengurusan bangunan dan pembinaan kepada Tabung Pembangunan Gaza MySet. Antaranya adalah Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Projek Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART), Belati Wangsa (M) Sdn Bhd dan IJM Corporation Bhd.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh mengkreditkannya ke akaun Bank Islam Humanitarian Care Malaysia Bhd (HCM) bernombor 551575004299 atau hubungi talian 019-3397566 untuk maklumat lanjut.