Jerebu Di Muar

Kualiti udara di Kota Tinggi kini pada paras berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatat pagi ini ialah 313 berbanding 291 semalam.

Catatan sehingga pukul 7 pagi ini juga menunjukkan udara di Pasir Gudang kekal pada paras berbahaya, walaupun bacaan IPU di kawasan itu turun dari 333 kepada 310, kata laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Satu lagi kawasan iaitu Muar yang mencatat bacaan IPU berbahaya semalam telah keluar daripada paras berbahaya hari ini setelah mencatat IPU 183 berbanding 383 semalam.

Selain Muar, beberapa kawasan lain masih mencatat bacaan tinggi melebihi paras tidak sihat (bacaan IPU 100 hingga 200) iaitu Larkin Lama, Johor (190); Bandaraya Melaka (192); Bukit Rambai, Melaka (164); Port Dickson (157); Seremban (105); dan Banting, Selangor (137).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani dalam program ‘Malaysia Hari Ini’ TV3 pagi ini memaklumkan bahawa 589 sekolah di Muar, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Pontian diarah tutup sehingga makluman lanjut diberitahu.

Sekolah-sekolah di Muar dan Batu Pahat telah ditutup sejak semalam.