Kerjasama erat kumpulan komuniti yang terjalin antara Malaysia, Indonesia dan Brunei merupakan pemangkin kepada kejayaan inisiatif Komuniti Asean 2015, kata Direktur Layanan Informasi Internasional, Direktorat General Informasi dan Komunikasi Publik, Selamatta Sembiring di Medan, Indonesia. Beliau berkata kerjasama Komuniti 1Malaysia (K1M) di Malaysia, Kelompok Informasi Masyarakat (KIM) di Indonesia dan Perwakilan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di Brunei mampu memperkukuh dan membangunkan tiga tunjang utama inisiatif iaitu keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.

“Sekiranya kita melakukan usaha meningkatkan tunjang ini secara bersama usaha itu akan menjadi lebih mudah dan lebih berkesan. Namun penting juga bagi kita mempelajari antara satu sama lain.

“Setiap daripada kita punyai kemahiran masing-masing, selain berkongsi kemahiran ini kita juga perlu sesama sendiri membantu antara sama lain untuk menyelesaikan masalah rakan komuniti kita melalui kemahiran yang tersedia (kita ada),” katanya kepada media.

Beliau terdahulu menerima kunjungan delegasi tujuh anggota K1M dan delegasi enam anggota Perwakilan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Brunei, yang dalam rangka lawatan sekitar Sumatera Utara, di sini.

Penubuhan Komuniti Asean dipersetujui pemimpin negara Asean pada Sidang Kemuncak Asean ke-9 di Bali, Indonesia pada Oktober 2003. Inisiatif itu merupakan usaha negara Asean bagi membentuk kerjasama lebih erat dalam mempercepat pembangunan dalam tiga tunjang itu.

Selamatta memberikan contoh pembangunan dalam tunjang ekonomi mampu dipercepatkan dengan kerjasama kumpulan komuniti itu dengan kerjasama pemasaran produk antara negara.

“Kumpulan komuniti di Malaysia dan Brunei misalnya boleh meneroka (mengenal pasti) produk dihasilkan kumpulan komuniti Indonesia untuk dipasarkan di negara masing-masing. Begitu juga sebaliknya.

“Bila ini dapat dilaksana dengan berkesan, ekonomi komuniti Malaysia, Indonesia dan Brunei dapat ditingkatkan secara bersama selaras dengan peranan (objektif) Komuniti Asean 2015,” katanya.

Ketua Delegasi K1M, Mohd Isa Jasin sependapat dengan Selamatta dan menambah anggota K1M perlu meninjau bagaimana KIM Indonesia mampu menghasilkan barangan dengan harga murah sambil mengekalkan kualiti yang tinggi.

“K1M perlu mempelajari apa yang telah dilakukan kumpulan komuniti di negara jiran tetangga ini bagi mengukuh gerak kerja dalam K1M itu sendiri. Selain itu kemahiran dalam penghasilan produk seperti kraftangan perlu ditingkatkan dalam menghasilkan variasi produk untuk dipasarkan. Saya percaya usaha ini mampu menyumbang dalam membangunkan Komuniti Asean 2015,” katanya.

Mohd Isa berkata sehingga kini terdapat 1,195 K1M di seluruh Malaysia dan kerajaan Malaysia menyasarkan penubuhan 2,000 K1M menjelang akhir tahun ini.

“Penubuhan lebih 800 K1M ini kita sasarkan untuk lebih komuniti bukan Melayu, selaras dengan gagasan 1Malaysia. Kita ada lebih 100 suku kaum di Malaysia, maka kita harap setiap suku kaum ini mempunyai K1M masing-masing bagi meningkatkan kehidupan dalam komuniti mereka,” katanya.

Ketua Delegasi Perwakilan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Brunei, Awang Abd Karim Abu Bakar berkata kerjasama antara kumpulan komuniti itu mampu menjadi komponen utama untuk mengukuh perpaduan antara rakyat dalam negara Asean.

“Kumpulan komuniti ini perlu mengadakan kerjasama dalam pelbagai sektor utama antaranya pelancongan seperti menyediakan pakej pelancongan tiga negara selain kerjasama dalam bidang pembuatan,” katanya.

Mempunyai objektif yang hampir serupa K1M di Malaysia, KIM di Indonesia dan Perwakilan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di Brunei merupakan inisiatif masyarakat setempat dengan sokongan kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek peningkatan sosioekonomi terutamanya di kawasan luar bandar.

(Sumber Berita)