Kementerian Kesihatan menggantung pengimportan 11 produk keluaran beberapa syarikat makanan Taiwan mulai semalam, termasuk Tapioca Balls atau Tapioca Pearls yang diguna dalam penyediaan minuman teh susu mutiara (bubble tea) kerana dilaporkan mengandungi asid maleik.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihaan Noraini Mohd Othman berkata penggunaan bahan itu tidak dibenar mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 kerana jika diambil pada paras tinggi boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang.

“Terkini, didapati Tapioca Balls atau Tapioca Pearls yang dikeluarkan beberapa syarikat (Taiwan) telah dicemari maleic acid (asid maleik) dan ia turut dikesan di dalam beberapa produk makanan yang lain.

“Mengikut pihak Taipei Economic and Cultural Office di Malaysia, Food and Drug Administration Taiwan sedang mengambil tindakan kawalan bagi menangani isu itu,” katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata 11 produk berkenaan ialah Tapioca Ball keluaran Sunright Corporation; Tapioca Starch (Hong Kai Foods Co); Black Tapioca Pearl (Possmei International Co Ltd); Indica Rice Powder (Sunright Foods Corporation); Tapioca Pearls (Shang Wang) dan Tapioca Starch Ball (Grand Chainly Enterprises Co Ltd). Selain itu, Tapioca Pearls (Ting Long); Noodles (Sin Chi Zhi Miang Chang); Tapioca Pearls (An Si Li) dan Tapioca Pearls White and Black (Tapioca Foods Company Ltd) juga digantung pengimportannya.

Noraini berkata, Kementerian Kesihatan juga telah mengadakan perbincangan dengan Taipei Economic and Cultural Office di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi itu dan akan terus memantau makanan yang diimport dari negara berkenaan.

Sebelum ini, katanya media melaporkan terdapat asid maleik dalam Tapioca Balls dan Tapioca Pearls keluaran syarikat Taiwan Sunright Foods Corporation namun Kementerian Kesihatan mendapati tiada produk itu diimport ke Malaysia.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan menjalankan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap produk makanan daripada pengimport yang tidak mengemukakan sijil analisis makmal yang diiktiraf Food and Drug Administration Taiwan bagi mengesahkan produk itu bebas asid maleik.

Noraini juga meminta pengimport, pengedar dan penjual produk berkenaan supaya menarik semula produk itu dari pasaran dengan kadar segera selain menasihatkan industri yang menggunakan produk berkaitan supaya menghentikannya.

“Semua pihak pengimport, pengedar, penjual dan industri yang terlibat dikehendaki melaporkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah mengenai produk yang didapati tercemar dengan asid maleik supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Bagaimanapun, Noraini berkata pengguna yang telah mengambil produk itu sebelum ini tidak perlu bimbang kerana pengambilan asid maleik sekali-sekala pada paras rendah tidak memudaratkan kesihatan.