Seorang kerabat diraja Negeri Sembilan kerugian RM1.7 juta selepas kediamannya di Bukit Bandaraya, Bangsar dipecah masuk hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah, berkata dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa yang berumur dalam lingkungan 50an kehilangan barangan berharga serta wang tunai dalam bentuk mata wang asing dan jam tangan berjenama.

“Pengadu hanya menyedari kejadian apabila melihat kesan umpil di pintu bilik tidur rumahnya.

“Pengadu percaya suspek memanjat tembok rumah dan seterusnya memanjat pokok yang berdekatan dengan biliknya itu sebelum keluar melalui jalan yang sama,” katanya ketika dihubungi media.

Azlee berkata polis percaya kecurian itu melibatkan lebih daripada dua orang penjenayah.