Unit Media Baru UMNO

Unit Media Baru (UMB) yang menjalankan tugas perang siber Barisan Nasional (BN) mendakwa dilayan seperti kelas kedua, kata pengerusinya Tun Faisal Ismail Aziz, sambil mempertahankan mereka tidak wajar dipersalahkan kerana prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Tun Faisal berkata tidak adil hanya pihak mereka dipersalahkan kerana dikatakan memainkan peranan, sebaliknya mempersoalkan sikap pemimpin atasan yang lebih mementingkan para penulis upahan yang dibayar dengan wang.

“Jangan bila ada peruntukan, beri pada orang lain. Bila mesyuarat, panggil orang lain. Bila makan-makan ajak orang lain. Bila jalan sana sini ajak orang lain. Bila ada maklumat bagi pada orang lain. Bila operasi turunkan orang lain. Bila buat latihan, bayar orang lain atau guna modul yang bukan cadangan UMB.

“Tetapi bila gagal, salahkan UMB. Banyak cantik….,” tulis Tun Faisal dalam laman blognya tetapi tidak merujuk secara khusus terhadap individu yang dimaksudkannya.

Tun Faisal juga mendedahkan UMB sering dijadikan “kambing hitam” oleh penulis blog upahan apabila berlaku sesuatu kegagalan dalam sesuatu misi, walhal kumpulan tersebut menerima arahan dan peruntukkan daripada pihak atasan.

“UMB sering dijadikan scapegoat oleh pihak tertentu untuk menafikan kegagalan mereka,” kata beliau.

“Mereka akan terus menyalahkan UMB sebagai jentera parti. Mereka akan kata kami bukan jentera parti, apa jentera parti buat? Sedangkan arahan dan peruntukan diberikan kepada mereka, bukan kepada jentera parti,” tambahnya lagi.

Terdapat kira-kira 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah syarikat pemantau media sosial. Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun.