Johor Darul Takzim berjaya ke final Piala FA selepas menang atas peraturan gol di tempat lawan, dengan keputusan agregat 2-2 ke atas Pahang. Perlawanan separuh akhir kedua itu diadakan di sini dengan Pahang kekal sebagai tuan rumah, selepas aksi yang dijadualkan 28 Mei lepas di Stadium Darul Makmur, Kuantan, dibatalkan susulan kekecohan membabitkan penyokong kedua-dua pasukan.

Pada babak pertama aksi malam tadi, Johor DT bimbingan bekas legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, seolah-olah tenggelam punca apabila gawang mereka dibolos seawal minit kedua menerusi jaringan pemain import dari Argentina Matias Ruben Conti. Pahang yang semakin yakin selepas meletakkan kedudukan agregat 1-1 terus mengasak, menyebabkan Fandi memasukkan K. Thanaraj menggantikan Irfan Abdul Ghani pada minit ke-21 bagi memperkuatkan benteng pertahanan Johor DT. Kemasukan pemain itu bagaimanapun tidak mampu mengekang kemaraan Pahang yang memperoleh gol kedua pada minit ke-40, sekali lagi menerusi Conti yang menyambar hantaran Amirul Hadi.

Bersambung separuh masa kedua, Fandi melakukan perubahan taktikal dengan memberikan penekanan kepada aspek serangan. Hasilnya pemain sayap import dari Brazil, Andrezinho, muncul wira Johor DT apabila menjaringkan gol pada minit ke-48, menjadikan agregat 2-2 yang kekal sehingga tiupan wisel penamat oleh pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar.

Johor DT akan bertemu juara bertahan, Kelantan, pada final Piala FA yang akan berlangsung 29hb Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kelantan mara selepas menewaskan jiran mereka, Terengganu, dengan keputusan agregat 6-5.