Jabatan Peguam Negara akan meneruskan pendakwaan kes rogol terhadap pengurus restoran, Riduan Masmud yang mana kesnya digugurkan selepas mangsa berusia 13 tahun itu menarik balik laporan polis di Sabah. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, mereka sedang mengumpulkan lebih banyak bukti termasuk laporan DNA.

“Kami tidak menggugurkan dakwaan terhadapnya.

“Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk mengumpulkan lebih banyak bukti dan kita akan meneruskan kes tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Abdul Gani berkata, beliau turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan oleh bapa mangsa bahawa tertuduh membayarnya RM5,000 sebagai ganti rugi, yang akan dikendalikan oleh “Mahkamah Adat” di Sabah.

Riduan mengejutkan negara selepas didakwa kerana merogol gadis bawah umur dan kemudian mengumumkan telah mengahwini mangsa.