Izzue Islam Awin Nurin

Selepas enam tahun menyulam cinta, penyanyi dan pelakon muda, Muhammad Izzul Islam Mazlan atau Izzue Islam, 23, selamat diijab kabul dengan pasangannya, Nurinafilah Waharudin, semalam. Berlangsung di Dewan Shah Alam, dengan sekali lafaz saja, Nurinafilah atau Awin Nurin sah menjadi isteri Izzue tepat jam 9.45 pagi dengan berwalikan bapanya, Waharudin Jonit. Pada upacara akad nikah yang dihadiri ahli keluarga terdekat, Izzue membawa tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada Awin berserta mas kahwin sebanyak 11 dinar dan wang hantaran berjumlah RM11,111.11.

Meskipun berumahtangga pada usia muda, menurut Izzue yang juga anggota kumpulan Forteen, dia gembira disatukan dengan gadis pilihannya yang juga pengurus kepadanya itu.

“Saya sudah bersedia memikul tanggungjawab seorang suami. dan bersyukur disatukan dengan Awin yang sangat memahami saya selama ini. Biarpun berkahwin pada usia sebegini, saya yakin dengan ketentuan Allah SWT menjodohkan saya dengan dia. Saya juga yakin dengan ‘masjid’ yang baru kami bina ini semestinya perkara baik dan pasti mendapat keberkatan,” katanya.

Cukup anggun dalam persalinan rona putih rekaan Satris Anggun, menurut Izzue yang turut menyambut hari lahirnya semalam, perkahwinan itu jadi lebih bermakna buatnya.