Isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor, dianugerahi ijazah Profesor Kehormat daripada Universiti Antarabangsa Teknologi Maklumat (IITU) Almaty di Kazakhstan sebagai mengiktiraf daya usahanya dalam pembangunan pendidikan terutamanya kanak-kanak menerusi program PERMATA Negara. Presiden IITU, Prof Dr Kenzhegali Sagadiyev menyampaikan ijazah Profesor Kehormat kepada Rosmah di universiti itu. Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat; Datuk Rohani Abdul Karim dan Duta Malaysia di Kazakhstan; Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.

Sementara itu, Rosmah dalam ucapan penerimaannya, melahirkan penghargaan terhadap universiti di atas penganugerahan ijazah itu. Menekankan mengenai pentingnya pendidikan awal, Rosmah berkata pelaburan dalam bidang itu merupakan langkah pertama dalam membina sebuah negara yang makmur, aman dan harmoni.

Katanya, tiada apa yang lebih penting daripada merancang dan berkorban untuk menyediakan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

“Pendidikan holistik bukan sahaja penting tetapi ia juga perlu bermula dari peringkat muda lagi. Jika kita gagal menyediakan yang terbaik untuk anak-anak, maka mereka mungkin berhadapan kegagalan di masa akan datang,” katanya.

Rosmah berkata, pewujudan Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak atau lebih dikenali ECEC di bawah program PERMATA negara adalah untuk memastikan pendidikan di Malaysia menumpukan pada pembangunan manusia holistik dari peringkat awal dan juga untuk memastikan negara dapat membina modal insan cemerlang.

Katanya, untuk memenuhi hasrat dan harapan itu, perbincangan mendalam diadakan dengan pelbagai profesional dan sukarelawan di Malaysia.