Nik Nazmi

Parti Keadilan Rakyat telah mengecam Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad ekoran kenyataannya yang mengancam untuk merampas pasport mereka yang mengkritik dan memprotes kerajaan di luar negara baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi parti tersebut, Nik Nazmi Nik Ahmad, menyifatkan tindakan tersebut adalah cubaan Putrajaya untuk menghalang hak asasi seorang rakyat Malaysia disamping tidak mempunyai hak untuk memantau rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

“Kenyataan baru-baru ini oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad yang mengatakan rakyat Malaysia yang memprotes dan mengkritik kerajaan Malaysia di luar negara akan ditarik balik adalah tidak mempunyai asas moral, undang-undang atau pentadbiran sekalipun,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan media hari ini.

“Jabatan Imigresen tidak mempunyai hak untuk mengulas mengenai apa yang rakyat Malaysia akan lakukan di luar negara dan menggunakan kuasa kerajaan untuk menyekat hak rakyat,” tambahnya lagi.

Menurut Nik Nazmi, kenyataan oleh Alias tersebut dilihat satu lagi cubaan kerajaan untuk menekan pemimpin pembangkang khususnya selepas tangkapan besar-besaran di bawah arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamid kebelakangan ini dibawah Akta Hasutan.

“Kenyataan Alias ini menunjukkan corak yang mengelirukan dibawah rejim Zahid yang sama sekali berbeza dengan apa yang dikatakan rekonsilasi kebangsaan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” ujarnya lagi.